Isnin, 7 Disember 2015

CABARAN DAN HALANGAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

6.0    CABARAN DAN HALANGAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL
Penggunaan media sosial secara meluas dan berpengaruh boleh membawa faedah, tetapi ia juga boleh memberi keburukan kepada penguna jika disalahguna. Media sosial  juga boleh dijadikan tempat menyebar fitnah dan maklumat salah. Penggunaan media sosial sejak kebelakangan ini telah memberi kesan kurang sihat terhadap masyarakat, perniagaan dan perpaduan negara.
Dengan perkembangan dan kemajuan media sosial di Malaysia kita perlu sedar bahawa keselamatan negara telah terbuka dengan pelbagai ancaman. Ia turut membuka ruang kepada rakyat Malaysia bagi membincangkan isu-isu politik sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang. Walaupun media sosial turut menjadi saluran alternatif maklumat dalam mempromosikan pelbagai jenis bentuk, ramai pengguna kurang berhati-hati apabila menyuarakan pendapat masing-masing.
Namun demikian media sosial adalah wahana yang boleh membincangkan bermacam-macam perkara melalui alam maya dan ramai rakyat Malaysia tidak ketinggalan ketika negara menghampiri status negara maju menjelang tahun 2020. Perkembangan media sosial adalah sesuatu yang memberi kesan positif kepada masyarakat. Kalau dulu pada tahun 1980an kita cukup susah untuk mengetahui apa yang berlaku di sekeliling kita sehinggalah berita itu dikeluarkan di akhbar-akhbar. Kini kita dengan mudah dapat mengetahui berita melalui media sosial dengan cepat. Ini adalah perkembangan positif kepada masyarakat termasuk wartawan yang membuat liputan kerana berita yang diperolehi mudah disampaikan kepada editor dan seterusnya kepada masyarakat.
Sejak perkembangan media sosial kita dapati banyak blog telah muncul dan kebanyakan penulisan yang dibuat adalah tidak berdasarkan fakta yang tepat. Pengguna media sosial perlu membuat pertimbangan yang bijak dalam melayari laman sesawang yang ada di dalam media sosial. Masyarakat juga perlu meningkatkan kesedaran kebertanggungjawaban dan bertindak berdasarkan undang-undang. Jika merasakan sesuatu info yang tersebar di media sosial adalah tidak betul dan menjatuhkan maruah seseorang buatlah aduan kepada pihak berkuasa. Perubahan terhadap gaya hidup berorentasikan teknologi dan kemajuan maklumat memberikan kesan dan menjadi cabaran terhadap nilai, budaya, pemikiran dan corak hidup yang beradat.
Jika dilihat dari sudut yang negatif banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh golongan remaja terutamanya isu yang berkaitan dengan gejala sosial yang melibatkan penggunaan media sosial. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan arus semasa kebanyakkan golongan remaja menggunakan media sosial untuk menjalinkan hubungan sosial seperti menerusi laman web Facebook, Twitter, Friendster, WhatsApp dan lain-lain lagi yang menawarkan pelbagai tawaran serta perkhidmatan yang menarik dan menyeronokkan yang sememangnya menarik minat para remaja untuk menyertainya.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa laman web sosial sebegini mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan seperti dapat berhubung serta membincangkan isu-isu terkini melalui ruangan alam maya. Namun begitu keburukannya tetap ada kerana penggunaanya adalah tanpa kawalan. Laman web sebegini juga menjadi tumpuan para penjenayah yang mahu menjadikan remaja sebagai mangsa mereka. Para remaja mungkin tidak menyedari maklumat peribadi mereka ataupun gambar-gambar peribadi mereka jatuh ke tangan pihak yang tidak dikenali dan sekaligus menjadi mangsa penjenayah-penjenayah dunia siber seperti terlibat dalam seks bebas, penculikan dan pemerdagangan manusia.
Berikut adalah antara cabaran dan halangan yang terdapat dalam media sosial:-
a)    Kesahihan maklumat.
-Maklumat yang tepat dan benar kesahihannya adalah penting bagi menjamin tiada berlaku penyelewengan dan kepalsuan fakta. Didalam bidang perniagaan sesuatu barangan yang hendak dipromosikan melalui media sosial perlulah tepat dan sahih. Maklumat yang betul akan memberi gambaran yang baik dan positif kepada penguna.
b)    Pelayar web negatif
-Minat dan kesukaan melawati laman web yang tidak bermoral dan tidak berfaedah memberi kesan negatif dalam perkembangan minda dan fizikal manusia. Ketagihan terhadap laman web negatif mencetuskan kerosakkan maruah, nilai keperibadian, dorongan terhadap jenayah seksualiti, masalah perundangan, perhubungan  interpersonal dan  pembaziran wang serta masa.
c)    Penyebaran fitnah dan gossip
-Kemudahan melalui laman media sosial sering disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Gejala utama yang selalu dikaitkan dengan teknologi tersebut ialah penyebaran fitnah dan gossip oleh satu pihak bagi tujuan memburukkan, memalukan atau menjatuhkan pihak lain. Hal ini mencabar etika dan tatasusila hidup bermasyarakat di dalam negara.
d)    Permasalahan remaja
-Minat remaja terhadap media sosial terutama teknologi internet dan alat komunikasi mendorong mereka menghabiskan masa di cyber cafe, internet cafe dan telefon pintar. Program seperti chatting, permainan video, sms, mms, 3G dan berbagai aktiviti melaluinya membawa kesan dan cabaran tersendiri. Kegilaan anak remaja ini memberi cabaran kepada ibubapa mereka.
-Ramai pelajar yang ponteng sekolah, menyalahgunakan wang saku, meminjam wang teman bahkan ada yang sanggup menipu dan mencuri. Kesannya ialah pembaziran masa kerana terlalu lama di cyber cafe, tidak ada kawalan keluarga dan memberi kesan buruk jangka panjang terhadap gejala sosial di kalangan remaja.
e)    Aktiviti perjudian
-Pihak berkuasa tempatan seperti polis dan agensi yang terlibat mendapati berlakunya penyalahgunaan pusat internet sebagai pusat perjudian. Permainan video yang berorientasikan judi mendapat perhatian di kalangan orang dewasa dan anak-anak remaja. Kegiatan perjudian ini merosakkan nilai-nilai moral yang baik dalam masyarakat.
f)     Perubahan Gaya Hidup dan Pencemaran Bahasa
Perpatah Melayu ada menyebut:-
‘Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga’
‘Yang elok itu budi, yang indah itu bahasa’
-Pengaruh sosial media yang menular dalam kehidupan moden hari ini jelas telah berjaya merubah paradigma sosio budaya dan bahasa komunikasi. Seperkara yang menarik dalam isu sosial media ialah berlakunya tanpa disedari iaitu kerosakan bahasa. Bahasa sms dan chatting memerlukan tulisan yang ringkas dan mudah.
-Kesannya terbawa sehingga banyak pihak menerima pakai dalam komunikasi harian mereka terutama di kalangan anak remaja. Misalnya perkataan Assalamualaikum sudah diringkaskan dengan berbagai cara seperti Asm, Akum, Aslam dan Salam yang mulai tersebar penggunaannya. Perkataan ini jelas tidak tepat dari susunan ejaan, kata-kata dan maknanya sendiri. Ianya jelas merosakkan penggunaan istilah, perkataan dan bahasa itu sendiri.
        Cabaran dan halangan ini memberi kesan negatif terhadap pengunaan laman media sosial. Walaubagaimanapun kawalan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu diberi perhatian dan pemantauan terhadap mereka yang menyalahgunakan perkhidmatan media sosial bagi membendung gejala negatif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan